Salam. Masuk 'paket' ketiga penulisan sekitar acara ke-19 HIKMAH di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember lalu. Bersambung daripada HIKMAH Bukit Tinggi - Antara dinar dirham dan peranan umat Melayu akhir zaman.
Jam 4.15 petang. Pembentangan ketiga untuk sesi selepas rehat makan tengah hari dan Zuhur pun dimulakan oleh saudara R.A. Huzaifah, seorang penggiat budaya, aktivis busana dan guru silat dari Melaka.
Beliau membawa tajuk "Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah", satu persembahan ilmu tentang semangat perjuangan yang disampaikan secara bacaan puisi. Ia menggambarkan perasaan pejuang besar Melayu-Bugis itu ketika menghadapi pelbagai kerenah ragam manusia sebelum syahid di tangan Belanda ketika berkubu di Teluk Ketapang, Melaka tahun 1784.
Wasiat ini diperkenalkan pada acara pertama HIKMAH di Shah Alam 4 Nov 2012 oleh waris keturunan Raja Haji dari Pulau Bentan, Indonesia saudara Raja Syukri. Beliau turut membacanya pada acara kedua HIKMAH di Melaka 25 Nov 2012 diikuti acara ketiga di Lumut, Perak, 27 Januari 2013. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu
Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari
HIKMAH III - Pengisian ilmu buat bekalan perjuangan syumul
Oleh kerana memang acara ke-19 di Bukit Tinggi ini dibuat untuk mengulangkaji topik-topik pembentangan/perkongsian yang pernah dibuat pada HIKMAH I, Raja Syukri diminta untuk membawa tajuk ini lagi. Cuma beliau terikat dengan komitmen kerja lalu meminta saya agar mendapatkan Huzaifah sebagai pengganti.
Untuk makluman Huzaifah juga seorang keturunan Raja Haji tetapi daripada satu jurai yang beranak-pinak di Melaka. Beliau pernah terlibat secara langsung menjayakan acara kedua HIKMAH yang diadakan di negeri tersebut atas pertolongannya. Lihat Acara kedua HIKMAH di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 Nov 2012. Huzaifah memberikan sedikit kelainan dan nilai tambah apabila turut menyertakan slaid-slaid berkaitan tentang Raja Haji. Ini berbeza dengan persembahan Raja Syukri dahulu yang membaca terus wasiat daripada kertas.
Selepas memberikan pengenalan tentang siapakah itu Raja Haji dan bagaimana perjuangan beliau (atau baginda sebenarnya) baru Huzaifah membacakan wasiat dengan merujuk pada slaid. Apa yang dibaca turut terpapar untuk tontonan umum. Dengan itu semua dapat meneliti sambil mendengar apa yang diperkatakan.
Selesai pembentangan atau persembahan "Wasiat Raja Haji", Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor yang telah membentang sebelum itu meminta diri kerana ada urusan lain. Rujuk artikel HIKMAH Bukit Tinggi - Antara dinar dirham dan peranan umat Melayu akhir zaman./Hadirin pun bersalaman dengan beliau penuh hormat.
Selesai itu iaitu pada jam 4.51 petang, baru dimulakan pembentangan seterusnya. Kalau ikut jadual asal, jam 4.30 lagi kami sudah harus berhenti untuk rehat solat Asar dan makan petang. Tetapi saya rasa biarlah diselesaikan satu sahaja lagi pembentangan lalu memberitahu hal ini kepada hadirin. Mereka bersetuju untuk terus mendengar dengan jangkaan akan berehat jam 5.30 lalu acara dikira tamat dan semua boleh santai bebas.
Pembentangan bertajuk "Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara" itu dibuat oleh saudara Mohd. Zahamri Nizar, seorang aktivis seni khat yang juga telah menjadi seorang saudagar buku. Ketika membentangkan kertas kerja sama pada HIKMAH I beliau adalah seorang tenaga pengajar separuh masa seni khat di Yayasan Restu, juga pelajar paska-siswazah bersama Akademi Pengajian Melayu (APM) di Universiti Malaya.
Tentang apa yang dikongsikan beliau dan mengapa saya merasakan ia penting boleh rujuk cerita berkenaan dalam artikel lama HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik!.
Sesungguhnya pedang Zulfikar yang merupakan pedang kesayangan Nabi Muhammad SAW adalah satu lambang ulung jihad dan dakwah Islamiah di merata tempat. Rata-rata kerajaan-kerajaan lama Melayu ada menggunakan lambang ini walau dalam pelbagai bentuk tafsiran dan variasi untuk menyatakan semangat mahu meninggikan syiar Islam terutama dalam menghadapi kedatangan penjajah Barat yang memang anti-Islam.
Zahamri turut mengambil peluang untuk berkongsi pandangan dan pemerhatian beliau tentang industri buku-buku ilmu di tanah air. Untuk makluman beliau mula berniaga buku secara suka-suka eksperimen pada HIKMAH I, Selepas mendapati usaha menjual buku-buku berbentuk ilmiah yang susah yang didapati di kedai-kedai buku biasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan, beliau meneruskan membuka gerai demi gerai pada majlis-majlis HIKMAH juga majlis-majlis lain ilmu di menara-menara gading dan institusi-institusi berwibawa seperti Muzium Negara, Perpustakaan Negara juga Dewan Bahasa dan Pustaka.
Beliau menutup bicara dengan mengalunkan satu syair tentang orang Melayu, kalau tak salah karangan Raja Ali Haji, cucu kepada Raja Haji. Syair sama telah beliau alunkan dalam satu majlis Maulidur Rasul yang saya hadiri sekitar seminggu sebelum HIKMAH ke-19. Lihat artikel Sambutan Maulud Agung di Riyadh Restu di blogspot CATATAN SI MERAH SILU, Menariknya, Zahamri sebenarnya telah berkejar dari Pulau Bentan di Riau, Indonesia semata-mata untuk memenuhi janji dan komitmen membentang pada HIKMAH ke-19. Beliau telah dipanggil untuk terlibat dalam satu acara budaya yang berlangsung di pulau tersebut Jumaat 16 Disember hingga Sabtu 17 Disember,
Zahmari katanya sampai ke Bentan pada hari Rabu 14 Disember. Oleh kerana HIKMAH berlangsung 17 Disember beliau mula berkejar meninggalkan Pulau Bentan pada hari Jumaat. Selepas Zuhur hari Sabtu baru sampai ke Bukit Tinggi. lalu bersiap sedia untuk membentang Ketika berada di Bentan, beliau sempat pergi ke Pulau Penyengat, sebuah pulau kecil sekitar 1 km lebih sahaja dari tanah besar Pulau Bentan. Di pulau itu terdapat makam Raja Haji juga makam Raja Haji, pejuang besar Melayu-Bugis yang menjadi topik pembukaan artikel ini. Ketika Huzaifah membentang tentang Wasiat Raja Haji beliau ada menunjukkan gambar-gambar bendera perang kerajaan lama Riau yang bermotifkan pedang Zulfikar. Kebetulan selepas itu, Zahamri yang baru kembali daripada Pulau Bentan, pusat kerajaan Riau membawa tajuk tentang motif pedang Zufikar. Nampak tak bagaimana cantik aturan?