Quantcast
Channel: Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)
Viewing all articles
Browse latest Browse all 317

Kaitan HIKMAH Muzium Negara dengan perasmian pameran songket Asean oleh Tengku Puan Pahang petang ini

$
0
0
Kurang seminggu lepas saya telah membuat artikel bertajuk Acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara kembali pada tarikh cadangan asal 22 Oktober lalu menyebut begini pada perenggan pertama...


Salam semua. Hasratnya ingin bercerita panjang lebar tentang apa yang berlaku pagi tadi di Muzium Negara. Tapi tak sempat kerana sebentar lagi saya harus mengejar penerbangan ke Kelantan. Di sini biar diletakkan gambar-gambar dengan tujuan mahu menunjukkan keadaan ruang yang boleh digunakan di muzium setelah dibuat satu tinjauan. Biar dicopy paste updates berkenaan yang telah diletakkan di Facebook tadi sebagai ganti cerita. Ada masa dan ruang nanti saya selitkan lagi butiran...


Yang dimaksudkan adalah pagi itu ada mesyuarat bersama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara tentang penganjuran acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara. Ada beberapa perkara baik yang tidak disangka timbul daripada mesyuarat itu tapi tidak sempat dikongsikan kerana harus bergerak ke Kelantan. Sekembalinya dari sana Khamis malam Jumaat hingga beberapa hari kemudian pula saya terasa begitu penat untuk menyambung cerita atau menyelitkan apa-apa butiran tambahan. Hari ini, disebabkan apa yang berlaku siang tadi saya rasa hasil mesyuarat Isnin lalu bolehlah diceritakan di samping hasil mesyuarat terbaru iaitu pada petang tadi.

Tengah hari Isnin 17 Oktober 2016 saya dan sahabat HIKMAH, Tengku Ahmad Ridhaudin pergi ke Muzium Negara untuk bermesyuarat lagi. Seperti saya dia juga telah pergi ke Kelantan, pergi ke tempat sama untuk menadah sedikit ilmu. Cuma beliau yang turut bersama pada mesyuarat Isnin lalu sampai sehari lewat daripada saya. Cerita tentang dua hari pertama saya di Kelantan, perjalanan saya yang kedua untuk menuntut ilmu di sekolah pondok sana dalam tempoh satu setengah bulan sudah dikongsikan dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Lihat artikel-artikel berikut :-





Lihat juga cerita-cerita yang telah dikumpulkan melalui artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Memantapkan Tauhid dan Syahadah? Ia adalah untuk perjalanan pertama 30 Ogos-5 Sept ke tempat yang sama, bagi tujuan yang sama. Perjalanan kedua 10-13 Okt dibuat untuk menambah lagi ilmu. Insyaallah ada yang akan dikongsikan pada acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara nanti. 


Salah satu hasil tak disangka mesyuarat Isnin lepas adalah pertukaran tarikh acara kembali kepada tarikh terdahulu. Lihat sedikit penerangan yang telah dikongsikan dalam artikel Acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara kembali pada tarikh cadangan asal 22 Oktober. Beberapa hari sebelum itu kami dimaklumkan supaya melaksanakan acara seminggu lebih awal. Sebab musababynya telah diceritakan panjang lebar dalam artikel Perkembangan mendadak HIKMAH ke-18 di Muzium Negara - Acara dipercepatkan ke 15 Oktober



Kalau rancangan itu diteruskan tentu kami akan penat teruk dan tergopoh-gapah kerana harus menjayakan acara sebaik sahaja kembali dari Kelantan. Kawan-kawan yang sama hendak ke sana rata-rata sudah membeli tiket kapal terbang sejak 2-3 minggu lebih awal  Bukan boleh main tukar-tukar tarikh pergi dan balik  sesuka hati apa lagi kami ke Kelantan itu juga hendak mengejar fadhilat menuntut ilmu pada Hari Asyura 10 Muharram dan tarikh-tarikh berdekatan. Apapun, sebaik sahaja menerima berita supaya acara dipercepatkan iaitu pada hari Jumaat 7 Okt saya terus memberitahu kawan-kawan HIKMAH dan penyokong melalui Facebook. 


Tidak lama kemudian saya dapati 2-3 orang pembentang terpaksa menarik diri kerana ada komitmen lain pada 15 Okt. Mereka cuma sedia memberikan waktu untuk HIKMAH pada 22 Okt. Ada pula kawan dari Aceh telah membeli tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur 20 Okt agar dapat bersama pada tarikh cadangan asal. Hal ini menyebabkan saya mengajak Tengku Ahmad supaya mengadakan mesyuarat dengan KP muzium hari Isnin lalu demi mendapatkan pertukaran kembali tarikh ke 22 Okt... 



Namun dalam tempoh sehari dua hari selepas itu saya juga isteri mendapati ada eloknya juga kami menurut sahaja cadangan muzium agar acara diadakan pada 15 Okt. Walaupun masa begitu singkat dan kami akan amat penat lagi tergopoh-gapah kami masih mampu mengatur perkara dengan cara membuat apa-apa pertukaran yang perlu (reshuffle itinerary) berdasarkan pengalaman sudah menjayakan 17 acara sebelum ini. Untuk pengetahuan kami pernah melaksanakan acara dalam tempoh 3 minggu sahaja terbit ilham untuk melakukannya. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012. Kami juga pernah melaksanakan 2 acara berturutan dalam tempoh 2 minggu antara satu sama lain. Lihat  Acara kelapan HIKMAH di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang 8 Feb 2014 diikuti Acara kesembilan HIKMAH di Dewan Tabung Haji, Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014.

Apapun alang-alang dah berjanji datang ke muzium Isnin lepas saya dan Tengku Ahmad pun bertemu di sana. Mesyuarat pula diteruskan dengan KP setelah diberitahu oleh pegawai penyelaras bahawa kami harus membuat permohonan lain bagi menggunakan dataran atas auditorium untuk tapak pameran dan perniagaan juga demonstrasi silat. Menurut faham pihak muzium kertas kerja yang kami kemukakan sebelum itu cuma meminta penggunaan auditorium. Kalau nak pakai dataran kena buat kertas kerja baru/tambahan... kecualilah KP sendiri menyatakan kebenaran walau secara lisan.



Biar diterangkan lagi bahawa tujuan asal artikel Acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara kembali pada tarikh cadangan asal 22 Oktober dibuat seminggu lepas adalah untuk menunjukkan penggunaan ruang terutama di kawasan dataran. Ini adalah supaya kawan-kawan HIKMAH   terutama mereka yang mahu membuat persembahana silat dapat menjangkakan cara terbaik bagi memanfaatkan ruang. Gambar-gambar dalam artikel ini pula menunjukkan keadaan muzium terutama di dataran pada siang tadi. Kenapa pula ada pameran songket Asean? Apa kena mengena dengan HIKMAH?



Di sinilah terletak suatu macam keajaiban takdir, qada' dan qadar' Allah. Adapun sekitar sebulan lalu, saya terserempak dengan Tengku Ahmad dalam satu majlis lalu beliau berkeras agar acara HIKMAH selepas Seremban (merujuk pada Acara ketujuh belas HIKMAH di Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, Seremban 17 Sept 2016) diadakan di Muzium Negara sekitar pertengahan hingga penghujung Oktober. Beliau mahu kami mengambil 'berkat' atas satu tempoh pameran tekstil yang beliau dapat tahu akan diadakan sekitar waktu tersebut. Cuma beliau belum jelas bilakah tarikh tepat dan apakah aspek tekstil yang mahu dipamerkan...



Saya pula sebenarnya telah sebulan lebih awal terfikir mahu mengadakan acara di Muzium Negara. Cuma saya kemudian bertukar fikiran mahu mengadakannya di sebuah kompleks yayasan di Bukit Jalil. Lihat artikel Cadangan 3 acara HIKMAH sebelum tamat tahun 2016. Apabila Tengku Ahmad menyatakan komitmen akan berusaha bersungguh-sungguh menjayakan acara jika saya bersetuju untuk kembali ke Muzium Negara kami pun mula berurusan dengan jabatan muzium. Maka dapatlah tarikh cadangan asal 22 Okt sebelum diminta secara mengejut untuk bertukar ke 15 Okt... 


Sudah disebut bahawa saya kemudian mulai redha dengan tarikh 15 Okt, begitu juga Tengku Ahmad. Kami cuma meneruskan mesyuarat dengan Ketua Pengarah Isnin lepas demi mendapatkan persetujuan beliau untuk menggunakan dataran atas auditorium bagi kawan-kawan kami membuat pameran dan berniaga selain membuat persembahan silat. Kami turun mengajak persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Selangor untuk menghantar wakil menyertai mesyuarat. Tengok-tengok, Ketua Pengarah iaitu En. Kamarul Bahrin pun sendiri tidak dapat bersama pada 15 Okt kerana sudah ada komitmen lain pada waktu itu.


En Kamarul menyatakan sangat ingin bersama dalam majlis setelah mengetahui sedikit sebanyak apa yang telah kami lakukan melalui HIKMAH sehingga dapat mengadakan 17 acara di merata Semenanjung membawa ke Aceh dalam tempoh kurang 4 tahun. Apabila diberitahu balik bahawa tarikh cadangan asal adalah 22 Okt, cuma kami disuruh bertukar ke 15 Okt kerana ada pihak lain dijadualkan menggunakan auditorium pada waktu tersebut beliau pun memanggil pegawai yang menjaga penggunaan auditorium lalu memintanya mengatur semula jadual. Untuk makluman beberapa orang pegawai dipanggil masuk menyertai mesyuarat. Dipendekkan cerita dapatlah kembali tarikh cadangan asal 22 Okt. Tidaklah lagi saya dan Tengku Ahmad merasa begitu terkejar-kejar akibat sudah memberikan komitmen mahu menuntut ilmu di sekolah pondok di Kelantan sekitar 10 Muharram. 


Bukan itu sahaja berita baik yang diterima. Tanpa dipinta En. Kamarul menawarkan sekali penajaan muzium untuk sarapan, makan tengah hari dan minum petang bagi 200 orang perserta HIKMAH. Kebetulan pihak muzium juga akan mengadakan pameran songket Asean dalam waktu terdekat. Beliau juga bertanya apakah perkara yang kami boleh bawa masuk untuk mencantikkan lagi penganjuran pameran apa lagi Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah ibni almarhum Sultan Iskandar (Johor) dijadualkan merasmikannya pada hari Selasa 18 Okt.


Sebelum itu saya cuma tahu mereka akan mengadakan seminar berkaitan pada hari Rabu 19 Okt. Itu yang diletakkan dan diberitahu pada pertengahan artikel Perkembangan mendadak HIKMAH ke-18 di Muzium Negara - Acara dipercepatkan ke 15 Oktober. Ini kerana pihak muzium telah meminta saya agar mengajak kawan-kawan HIKMAH datang berbusana penuh memeriahkan seminar. Apabila En, Kamarul bertanya bagaimana kami boleh menyumbang untuk mencantikkan majlis perasmian oleh Tengku Puan Pahang jawaban mudah yang terbit daripada mulut saya - kami ada ramai kawan yang boleh membuat persembahan silat lalu menunjuk pada wakil DSSM Selangor yang hadir pada mesyuarat. Terus beliau menerima cadangan lalu meminta wakil untuk mengatur satu persembahan sambutan...




Mengingatkan bahawa ramai kawan-kawan silat kami adalah golongan berpendapatan rendah saya pun memberitahu lebih kurang begini : "Tuan, kalau untuk acara HIKMAH memang kami tidak meminta apa-apa bayaran atau mengenakan apa-apa bayaran baik untuk peserta, mahupun pembentang, baik peniaga malah sesiapa sahaja kerana kami adalah gerakan perkongsian ilmu secara sukarelawan. Tapi kalau untuk persembahan silat seperti yang tuan pinta untuk pameran harap tuan dapatlah memberikan sedikit bayaran kerana ia pun acara terus di bawah muzium dan jabatan harus memilik bajet untuk ini". En, Kamarul tiada masalah dengan ini. Malah ditanyanya pula apa lagi HIKMAH atau kawan-kawan kami. dalam jaringan NGO-NGO yang kami kenali, para aktivis budaya, persilatan dan kedaulatan Melayu dapat menyumbang seterusnya untuk mencantikkan majlis...


Kebetulan ada seorang kawan kami, kira kawan HIKMAHlah juga walaupun lebih aktif bergerak dalam persatuan lain dirasakan sesuai diketengahkan kerana sudah biasa mengatur persembahan demi persembahan melibatkan busana dalam pelbagau majlis besar. Antaranya adalah Akademi Silat Pendekar Muda yang ditayangkan di TV AlHijrah selama beberapa bulan sebelum masuk bulan Ramadhan lepas. Lihat artikel Membawa Daulah Melayu dan HIKMAH ke Akademi Silat. Kebetulan, beliau iaitu saudara Nur Afifi, seorang pensyarah dalam bidang berkaitan di UiTM Shah Alam juga tersenarai sebagai salah seorang pembentang pada HIKMAH Muzium Negara. Saya pun mencadangkan agar muzium berbincang dengan beliau untuk mencantikkan acara. Tengku Ahmad menyokong cadangan ini.


Kebetulan seorang pegawai yang turut sama dalam mesyuarat mengenali Afifi lalu mengakui kebolehannya dalam bidang busana dan segala yang berkaitannya. Ketua Pengarah pun bersetuju untuk membawa masuk beliau bagi mengatur perkara. Maka berlakulah beberapa hal menarik di Muzium Negara siang Isnin tadi. Itulah yang ditunjukkan dalam gambar-gambar sebelum ini... 

Sambil pihak muzium bersiap sedia untuk menjayakan pameran songket 16 Oktober hingga 31 Disember sambil itu juga persiapan dibuat untuk menyambut kedatangan Tengku Puan Pahang bagi majlis perasmian siang Selasa 18 Okt iaitu beberapa jam sahaja lagi daripada sekarang! Afifi pula membawa masuk beberapa orang kawan aktivis, kawan-kawan HIKMAH juga walaupun ramai memiliki persatuan sendiri untuk bersama membuat persembahan tertentu. Itu yang  diadakan beberapa rehearsal tadi. Turut diadakan adalah rehearsal silat menyambut tetamu diraja oleh pesilat bawah DSSM Selangor. Alhamdulillah. Mereka juga mendapat ruang atas cadangan kami.


Sambil rehearsal dan taklimat berkaitan berjalan satu mesyuarat untuk finetune atau memperhalusi lagi cara penganjuran acara ke-18 HIKMAH turut diadakan di muzium tadi. Hadir atas nama HIKMAH adalah saya dan Tengku Ahmad (walaupun beliau turut menyebut mewakili satu persatuan lain) juga dua orang wakil dari DSSM Selangor. Diingatkan dalam mesyuarat bagaimana muzium harus menjaga standard atau piawai yang tinggi juga protokol tertentu. Lalu segala yang mahu dibuat eloklah dinyatakan dengan jelas, dalam batas-batas yang sesuai demi menjaga nama baik Muzium Negara sebagai satu institusi berwibawa peringkat nasional yang berprestij tinggi. 



Semasa mesyuarat berlangsung itulah baru saya dapat menetapkan atur cara final atau terakhir yang boleh digunapakai atau diwar-warkan secara rasmi. Ini dapat dilakukan setelah beberapa hari mengalami ketidakpastian akibatan gangguan yang ditimbulkan oleh pertukaran tarikh, daripada 22 Okt menjadi 15 Okt kemudian menjadi 22 Okt balik. Sebentar tadi seorang sahabat HIKMAH baru menyiapkan satu poster berkenaan acara untuk diwar-warkan oleh pihak saya. Muzium pula akan membuat poster sendiri di mana acara ke-18 HIKMAH ini mereka war-warkan sebagai Wacana Busana Lambang Ketamadunan Melayu iaitu mengambil sempena tema majlis yang telah kami tetapkan sejak mula. 

Sekian perkongsian saya kali ini. Sekarang saya harus berehat, jam 10 pagi harus berada di muzium bersama isteri lagi, kali ini untuk menyambut kedatangan Tengku Puan Pahang lebih kurang jam 2.30 petang....



Viewing all articles
Browse latest Browse all 317