Bersambung daripada Sekitar Festival Rakyat @ Pasir Salak - Ribut taufan yang 'menyambut' PM Najib.
Esoknya hari Sabtu kami kembali ke tapak festival hampir jam 11.30 pagi.
Kami telah bermalam di Pasir Salak Resort. Selepas berehat beberapa lama singgah pula ke beberapa tempat sebelum ke tapak festival.
Sampai ke khemah yang diperuntukkan untuk kegunaan HIKMAH ada kawan-kawan lain iaitu mereka yang tidak sempat masuk hari Jumaat telah muncul dengan barangan mereka.
Bergambar bersama Puan Maimoon (kiri sekali) daripada Persatuan Warisan Bandor, orang yang mengajak HIKMAH memeriahkan acara.
Beliaulah yang memperuntukkan satu khemah untuk HIKMAH, sedangkan satu khemah lagi di sebelah adalah untuk kegunaan orang-orang beliau. Namun hari Sabtu ini beliau telah berpakat dengan kawan-kawan HIKMAH untuk berkongsi kedua-dua khemah. Barangan masing-masing diatur sebegitu rupa sehingga nampak seolah-olah kami datang daripada satu kumpulan yang sama....
Suasana hari Sabtu itu terasa lebih tenang, tidak seperti malam sebelumnya yang terlalu ramai orang kemudian kena hujan ribut taufan.
Kami dimaklumkan TPM Dato' Zahid Hamidi ada di sekitar lalu mungkin melawat festival.
Tapi setelah beberapa lama saya tak nampak beliau muncul, katanya sebab mesyuarat di bahagian berdekatan tak habis lagi.
Tak tahulah jika beliau datang malam. Yang pasti saya dan keluarga meninggalkan festival sebelum Maghrib kerana mahu berehat di resort sebelum bertolak kembali ke Lembah Klang. Walaupun festival berlangsung sehingga lewat Ahad, kami tidak dapat bersama kerana mahu menghadiri acara lain di Kuala Lumpur. Nasib baik sempat menyempurnakan suatu perkara 'tertunggak' petang itu.
Adapun penglibatan HIKMAH dalam acara di Pasir Salak ini saya rasakan seperti 'ekor-ekor penghabisan' daripada acara ke-15 HIKMAH di Beruas 8-9 Ogos. Seperti ada disebut dalam artikel Melengkapkan gerak HIKMAH Beruas di Pasir Salak 2 minggu lalu, acara di Beruas ada terasa sedikit tergantung kerana saya tidak sempat menyampaikan sedikit amanat akibat turut disibukkan dengan kerja-kerja penggambaran dokumentari. Alhamdulillah amanat ini dapat disampaikan kepada beberapa orang petang Sabtu yang tenang di Pasir Salak. Dengan ini selesailah cerita ini sebagai pelengkap apa yang kurang di Beruas sebulan lalu.