Salam malam Jumaat. Dua minggu lalu saya telah membuat artikel bertajuk Melengkapkan gerak HIKMAH Beruas di Pasir Salak menyebut tentang bagaimana HIKMAH diminta memeriahkan satu acara di Perak. Acara yang dimaksudkan, diberi nama Festival Rakyat @ Pasir Salak sudah selamat dilangsungkan 4-6 September. Sekarang baru saya terasa boleh bercerita tentangnya.
Saya dan keluarga sampai ke tempat acara petang Jumaat 4 September 2015.
Acara diadakan di Litar Lumba Tok Sagor, 1.5 km ke selatan pekan Kampung Gajah.
HIKMAH diberikan satu khemah...
Kawan-kawan HIKMAH diajak bersama berniaga sambil mempamirkan barangan berkaitan warisan tradisional Melayu.
Keadaan di festival selepas waktu Maghrib.
Ramai orang sedang menunggu kedatangan Perdana Menteri Dato' Seri Najib yang dijadualkan merasmikan festival.
Beliau dan orang-orangnya datang menaiki bot berhias menyeberangi Sungai Perak daripada Pasir Salak Resort.
Setelah beberapa lama hadirin menunggu barulah muncul PM. Ketika gambar ini diambil sudah hampir jam 9.30 malam.
Antara yang lama menunggu untuk menyambut lalu membuat persembahan (sejak jam 8 malam kalau tak salah) adalah kumpulan persilatan Penjurit Kepetangan.
Sayangnya. Saya lihat masa juga ruang yang diberikan terlalu sedikit untuk persilatan. Sebaliknya persembahan tarian India diikuti tarian Cina selepas itu nampak lebih terserlah.
Sebagai pemerhati saya melihat sahaja keadaan. Saya mengekori rombongan PM setakat sampai ke pentas utama, selepas nyanyian Negaraku saya terus kembali ke khemah HIKMAH.
Ketika itulah hujan mula turun lebat selebatnya...
Angin kuat seperti ribut taufan terus berlangsung tak kurang sejam. Lihat sahaja bagaimana sepanduk HIKMAH terangkat ditiup angin walaupun telah disangkut dengan dua botol air mineral sebagai pemberat. Saya dapat merasakan alam sekitar Pasir Salak, tempat yang melambangkan perjuangan kuat orang Melayu melawan kuasa penjajah Barat menjadi marah akibat ada nilai bangsa lain diangkat lebih tinggi dan nyata tak kena tempat...