Salam semua. Setelah beberapa lama sampailah masanya untuk berkongsi cerita tentang pembentangan-pembentangan yang telah dibuat pada acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 22 Februari 2020.
Pembentangan pertama sesi pagi merangkap pembentangan pertama keseluruhan diberi tajuk seperti yang kelihatan. Pembentangnya adalah saya, presiden HIKMAH.
Tajuk yang digunakan adalah mengambil daripada tajuk buku ke-12 saya "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Manusia". Ia adalah lanjutan daripada buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" sedangkan kedua-dua buku diterbitkan bersama secara 'berkembar' Mac 2018.
Tajuk tersebut pertama kali diminta oleh seorang kawan untuk dipersembahkan pada satu majlis ilmu di UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA), Shah Alam hampir penghujung tahun 2018. Lihat Program Tempa Melayu - Menyingkap kajian terbaru tentang Hang Tuah sebelum mengupas kelebihan Benua Tua Melayu dan bangsa.... Oleh kerana ia adalah daripada buku dengan tajuk sama sedangkan buku adalah lanjutan daripada buku "Nabi Adam... " maka persoalan asas yang membentuk isi buku ke-11 itu pun diketengahkan terlebih dahulu. Ia adalah tentang usaha untuk menjawab perbezaan besar masa bermula wujudnya manusia di muka bumi dalam kitab berbanding sains.
Ditunjukkan daftar kandungan isi dalam buku "Nabi Adam... ". Oh. Semasa di UiTM itu saya diberikan masa sehingga 2 jam untuk membentang. Di ISTAC pula masa dihadkan cuma 30 minit lalu saya harus 'melompat' dalam memberikan penerangan.
Pembentangan terdiri daripada 88 buah slaid. Untuk majlis di ISTAC ia dipaparkan sekejap-sekejap sahaja kecuali bahagian yang rasanya perlu dipanjangkan penerangan. Antaranya adalah tentang majlis ilmu yang pertama sekali membawa saya untuk menanggapi persoalan.
Ditunjukkanlah keadaan muka bumi Asia Tenggara atau Alam Melayu ini beribu tahun yang lampau ketika ia masih sebuah benua besar akibat paras air laut jauh lebih rendah.
Ditunjukkan sebaran bangsa Melayu awal ke merata dunia sehingga menjangkau Pulau Madagaskar di pantai timur Afrika dan Pulau Easter di pantai barat Amerika Selatan.
Ditunjukkan pula buku-buku tulisan Barat yang menyatakan bahawa Alam Melayu ini pernah menjadi sumber peradaban dunia...
Dipaparkan secara ringkas konsep matematik yang digunakan untuk menjawab persoalan asas yang membawa kepada penulisan buku "Nabi Adam...". Kemudian ditunjukkan jadual maklumat yang terhasil daripada penerapan konsep matematik tersebut.
Perkara ini sebenarnya pernah saya syarahkan panjang lebar di ISTAC pada April 2018 dalam bahasa Inggeris kemudian di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar dalam bahasa Melayu. Ada juga majlis-majlis lain berserta penulisan yang memanjangkan perkara. Rujuk artikel-artikel berikut :-
4. Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar
Maka masuklah pada isi buku yang tajuknya menjadi tajuk pembentangan...
Diceritakan sedikit tentang dakwaan seorang penulis buku Indonesia bahawa Candi Borobudur di Pulau Jawa itu (kononnya) adalah peninggalan Nabi Sulaiman AS. Perkara ini telah saya sanggah setelah membaca buku berkenaan kemudian mengikuti lawatan tapak bersama beliau. Sila baca artikel Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang melampau di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Tetapi ada juga dakwaan dalam buku yang didapati benar lalu boleh memberikan implikasi besar. Satu daripadanya adalah jika ditarik satu garisan lurus tanpa putus dari tengah Ka'abah sehingga ke tengah Borobudur didapati ia tepat melalui sudut batu Hajarul Aswad.
Hal ini membuat saya ingin menyiasat - Bayangkan jika ada lampu di dalam dan tengah bangunan Ka'abah. Cahaya keluar melalui pintu Ka'abah terus sejauh mungkin di muka bumi. Bahagian manakah di Asia Tenggara akan termasuk dalam liputan cahaya ini?
Hasilnya amat mengujakan. Didapati seluruh bahagian Asia Tenggara yang pernah membentuk benua besar purba (dikenali sebagai Benua Sunda atau Sundaland) termasuk dalam liputan. Penemuan ini pertama kali saya bentangkan pada acara ke-11 HIKMAH di Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah Pagoh penghujung tahun 2014. Lihat artikel-artikel berikut :-
2. Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Kaitan Kaabah yang menakjubkan
3. Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Tempat keluar panji-panji hitam dari Timur?
Seterusnya adalah dakwaan bahawa kerajaan Saba' yang disebut dalam Al-Quran terletak di Alam Melayu (buku secara khusus menyebut di Pulau Jawa). Pada saya ini adalah separa benar. Berdasarkan apa yang saya dapat kumpul daripada orang-orang tua memang kerajaan Saba' pernah meliputi Alam Melayu. Kalau menurut apa yang diterima sejarah rasmi pula ia cuma meliputi hujung Semenanjung Arab.
Pada saya kerajaan Saba' sebenarnya lebih besar. Ada warisan tinggalan malah darah keturunan menunjukkan Habsyah (Ethiopia) di timur Afrika pun termasuk dalam lingkungannya. Untuk Alam Melayu pula ada cerita kanak-kanak seperti Hikayat Sang Kancil kemudian salasilah raja-raja Bugis menunjukkan keterkaitan dengan Nabi Sulaiman juga isteri baginda yang memerintah kerajaan Saba' iaitu Ratu Balqis.
Ini semua menunjukkan pada keistimewaan kedudukan Alam Melayu itu sendiri. Sehingga timbul kajian menyatakan tempat pertama Nabi Adam AS diturunkan di muka bumi selepas dikeluarkan dari syurga adalah di bumi sebelah sini, bukan di benua Hindi atau India seperti selalu disebut orang. Kajian peribadi saya pula menambah banjir Nabi Nuh AS pun berpunca dari belah sini, lebih tepat daripada letusan gunung berapi gergasi yang kemudian tinggal tapak menjadi tasik besar Danau Toba di utara Pulau Sumatera. Cuma sejarah ini hilang akibat perkembangan zaman. Lalu sejarah yang diketahui dan diterima ramai lebih menunjukkan segalanya bermula di Timur Tengah. Sedangkan saya percaya itu adalah sejarah selepas banjir besar. Ia bermula dari sana kerana di belah situlah bahtera Nabi Nuh AS mendarat lalu manusia mula berkembang biak kembali setelah hampir semua dimusnahkan oleh banjir besar.
Pembentangan ditutup dengan ini - carta pergerakan manusia sejak Nabi Adam AS hinggalah muncul penduduk Alam Melayu yang dikenali kemudian. Carta ini terdapat dalam muka surat akhir buku "Benua Tua Melayu". Sekian perkongsian tentang pembentangan.