Quantcast
Channel: Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)
Viewing all articles
Browse latest Browse all 317

HIKMAH ISTAC 2020 - Menelusuri pelbagai aspek peradaban Melayu demi kebangkitan ummah akhir zaman

$
0
0

Salam petang Jumaat pertama bulan Rejab tahun 1441 Hijriah. Sampai masanya untuk melengkapkan cerita-cerita sekitar penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pada hari Sabtu 22 Februari lalu. Bersambung daripada HIKMAH ISTAC 2020 - "Salam Fakir Andalusia", kelebihan ilmu dan signifikan mengadakan acara di ISTAC.


Sesi pembukaan acara secara rasminya selesai selepas pembacaan syair "Kelebihan Ilmu".  Jam 11.19 pengacara pun mengumumkan permulaan sesi seterusnya iaitu pembentangan ilmu pagi. Dijadualkan berlangsung 11 pagi hingga 1 petang ia terdiri daripada 3 pembentangan ilmu sepanjang 30 minit setiap satu. Masa lebih (kalau ada) selepas itu diperuntukkan bagi sesi soal jawab.


 
Sesi dimulakan 20 minit lewat dengan pembentangan pertama oleh saya. Dalam atur cara disebut tajuk pembentangan adalah “Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia”. Ia dibawa oleh Radzi Sapiee @ Merah Silu, pengkaji dan penulis buku, presiden HIKMAH. Oleh kerana tidak dapat ditemui apa-apa gambar menunjukkan saya membuat pembentangan biar digantikan dengan slaid.


Dalam satu atur cara lebih terperinci yang disampaikan kepada ahli akademik ISTAC bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajar ditambah bahawa pembentang adalah calon sarjana (Masters) dalam bidang Pemikiran Islam dengan pengkhususan dalam perbandingan naratif sains dan agama. Pembentangan mahu menunjukkan kelebihan Alam Melayu/Asia Tenggara yang suatu masa dahulu pernah menjadi benua sebesar 2 kali benua Hindi berdasarkan beberapa sumber.


Perincian akan dibuat dalam artikel khas tentang pembentangan. Begitu juga halnya bagi tajuk-tajuk lain. Pembentangan kedua diberi tajuk “Keris Sebagai Pakaian Peradaban Melayu”. Disampaikan oleh Tengku Ahmad Ridhaudin, penulis dan calon PhD di ISTAC dalam bidang pemikiran Islam khusus pada kajian keris juga presiden ISTACSS (Persatuan Pelajar ISTAC) ia bermula sekitar jam 12.02.


Pembentang yang juga telah menulis 5 buah buku kecil tentang keris tidak menggunakan slaid. Bercakap secara terus kepada hadirin beliau membuat demonstrasi permainan keris berdasarkan penemuan beliau bahawa permainan keris yang asal tidak menikam sebaliknya lebih pada menghiris.



Keadaan pada jam 12.20


Walaupun kehadiran tidak seramai mana ia adalah lebih baik berbanding apa yang saya pernah lihat pada beberapa majlis ilmu walaupun yang bercakap adalah tokoh-tokoh besar.


Jam 12.38 pembentang ketiga saudara Shaiful Hakim membawa tajuk “Ilmu Kejuruteraan di Alam Melayu dan Islam”. 


Beliau adalah pensyarah kejuruteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan calon double PhD dalam bidang Aerospace Engineering di UPNM dan Institut National Science Applique (INSA) di Bourges, Perancis. Saya yang turut bertindak sebagai moderator menambah dengan memperkenalkan Shaiful sebagai seorang pengamal Silat Gayong yang rajin mengajar sehingga telah membuka 7 buah gelanggang di Perancis.


Menariknya beliau dapat menggunakan ilmu analisis pergerak udara sekitar sayap kapal terbang bagi menunjukkan kelebihan keris berbanding senjata tajam lain. Lihat siaran langsung Facebook yang dibuat isteri saya di sini.


Sekitar jam 1.25 baru sesi pembentangan pagi tamat. Gambar ini menunjukkan suasana di ruang legar luar bilik acara jam 1.52.


Ketika itu ramai sudah menikmati makan minum tengah hari yang disediakan secara percuma oleh pihak kami. Sejumlah hadirin sedang berlegar-legar melihat pameran dan jualan di tapak-tapak yang juga diberikan secara percuma tanpa perlu pun mendaftar... datang sahaja dan aturlah barangan anda. Saya pula masih belum makan kerana baru selesai beberapa urusan dalam memastikan kelancaran majlis.



Di dataran terbuka tengah bangunan utama ISTAC pula ada hadirin memanah.


Mereka sebetulnya telah bermula sejak awal pagi. Memang dataran terbuka disediakan bagi aktiviti-aktiviti luar terutama bersilat sambil pembentangan berjalan dalam bilik acara.


Sesungguhnya ramai yang hadir adalah kawan-kawan kami dalam dunia persilatan juga aktivis busana tradisional Melayu.


Oh. Beberapa gambar diambil daripada FB kawan-kawan.


Antaranya adalah pertunjukan silat yang diadakan dalam bilik acara sekitar jam 2.40. Ketika ini saya sedang berada di masjid untuk menunaikan solat. Boleh lihat rakaman video berkenaan di sini.


Sekitar jam 2.50 iaitu 20 minit lewat berbanding jadual asal baru saya bersedia untuk memulakan sesi pembentangan petang. Sebelum itu hadirin diajak bergambar beramai-ramai. Beberapa hari kemudian baru sedar rupa-rupanya ada sejumlah termasuk kawan-kawan pemanah tidak ada dalam gambar kerana sedang berada di bahagian lain bangunan ISTAC.


Sesi dimulakan jam 2.55 dengan pembentangan bertajuk “Dinar dan Dirham Sebagai Wadah Kebangkitan Ummah” oleh saudara Hazrin Marjan, seorang perunding kewangan Islam dan aktivis dinar dirham.


Slot ini asalnya diberikan kepada perunding dan aktivis lain saudara Amirul Haji Mohamad,. Tetapi ini tidak dapat dilakukan kerana diganggu masalah kesihatan. Sejak 2 minggu kebelakangan beliau sudah beberapa kali keluar masuk wad di hospital.


Saya telah meminta Amirul kemudian Hazrin untuk menyentuh bab negara Cina dalam pembentangan. Ini kerana teringat pernah membaca beberapa laporan di Internet bahawa negara besar komunis itu giat mengumpulkan emas beberapa tahun lalu. Tiba-tiba sahaja selepas itu mereka memiliki dana yang banyak untuk memulakan satu projek besar infrastuktur gergasi menghubungkan banyak negara yang dikenali sebagai OBOR (One Belt One Road initiative).


Menariknya, atas kebetulan apa entah, ketika hendak memulakan bicara tentang Cina datang 2 orang tetamu beragama Islam daripada negara tersebut lalu menyertai majlis. Tersenyum paling kiri dalam gambar adalah Imam Ibrahim Nuruddin. Saya diberitahu beliau adalah imam Masjid Jalan Taman, bandar Zhengzhou di provinsi Henan.


Yang memberitahu itu adalah Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, pembentang kedua sesi petang. Beliau pernah memegang jawatan ketua Unit Tamadun Melayu Islam di ISTAC sebelum berpindah ke UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim, Perak untuk menjadi penyandang Kursi Za'aba. Beberapa tahun sebelum itu beliau pernah menjadi profesor mengajar bahasa Melayu di Cina. Dua orang tetamu itu adalah kenalan beliau namun datang ke majlis HIKMAH disebabkan ada pelajar ISTAC dari Cina memberitahu tentang acara.


Awang Sariyan membawa tajuk "Melayu dan Islam Berpisah Tiada". Oh, seorang daripada tetamu tadi cuma tahu berbahasa Arab selain bahasa Cina. Nasib baik pembentang sebelumnya iaitu saudara Hazrin fasih berbahasa Cina. Beliau dengan lancar dapat menerangkan apakah yang dibincangkan dalam pembentangan terutama yang melibatkan negara Cina.


Awang pula menerangkan kenapa Melayu dan Islam itu berpisah tiada berdasarkan perkembangan Islam di Alam Melayu. Ini diikuti peruntukan-peruntukan berkenaan dalam Perlembagaan Negara Malaysia.


Sekitar jam 4.15 saya membawa pembentangan terakhir sesi juga bagi keseluruhan majlis dengan memberikan tajuk yang kelihatan. Ia asalnya diperuntukkan untuk dibawa oleh Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Namun Osman yang juga diminta merasmikan majlis waktu pagi memberitahu tidak dapat bersama sepenuh hari. Oleh itu tajuk diambil alih oleh saya. 


Andalusia yang terletak di hujung barat benua Eropah dipilih sebagai topik kerana pernah mengalami zaman keemasan ilmu Islam ratusan tahun yang lampau. Ia menjadi jambatan bagi negara-negara Eropah mencapai kemajuan sehingga muncullah tamadun Barat yang kita lihat hari ini.


Keberadaan Andalusia kemudian dikaitkan dengan aspirasi keilmuan tinggi ISTAC. Ini boleh dilihat melalui seni bina bangunan yang jelas memaparkan ciri-ciri Istana Alhambra (dahulunya milik kerajaan Islam) yang masih wujud di wilayah berkenaan. Lihat video syarahan di sini.


Jam 5.02, felo kanan ISTAC, Profesor Datuk Dr Baharuddin meminta ruang untuk menerangkan atau menambah tentang satu perkara melibatkan keSufian yang ada saya sebut dalam pembentangan. Lihat sini. Dilihat pada satu lapis kelihatan pelbagai tajuk yang dibentangkan seperti mencapah sehingga boleh masuk bab Andalusia. Apa kena mengena pula dengan bangsa dan tanah air kita? Namun pada hakikat semua tajuk dipilih  bagi menelusuri pelbagai aspek peradaban Melayu demi kebangkitan ummah akhir zaman.


      
Beberapa hari kemudian terlihat pula video persembahan silat berkeris ini dikongsikan orang di FB. Rupa-rupanya ada yang sempat membuat rakaman di dataran ketika kami dalam bilik membentang. Sesungguhnya memang hajat saya mengajak kawan-kawan persilatan datang ke ISTAC supaya dapat bersama merasai aura cintakan ilmu yang wujud melalui seni bina nostalgia zaman keemasan Islam Andalusia. Semoga ia dapat merangsang semua supaya lebih bijak mengatur langkah-langkah perjuangan pada masa hadapan. Insyaallah. Allahuakbar.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 317