Salam 8 Mac. Sejak memaparkan artikel ke-313 di blogspot ini iaitu Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? pada 5 Januari lalu saya tidak mahu memaparkan apa-apa cerita baru buat suatu tempoh. Sekarang, setelahlebih 3 bulan blogspot ini tidak dikemaskinikan biar dikongsikan satu cerita yang sebenarnya ada kaitan juga dengan artikel ke-313 itu. Ia adalah tentang satu majlis yang berlaku hampir 2 minggu lalu tetapi baru kini timbul rasa untuk bercerita tentangnya...
Pagi Jumaat 24 Februari, saya mendapat pesan dalam Whatsapp berupa poster yang kelihatan di atas daripada pemilik Sarang Art Hub, pengarah filem terkenal Mamat Khalid. Saya pun faham beliau mengundang saya untuk datang. Acara ini akan mengenengahkan persembahan silat diiringi gendang dan serunai sambil hadirin di minta berbusana tradisional Melayu. Ia adalah acara pertama seumpamanya diadakan di Sarang Art Hub.
Sebetulnya sejak lebih seminggu awal saya sudah dimaklumkan tentang acara oleh pihak lain yang terlibat sama lalu diundang datang. Undangan daripada Mamat membantu untuk menetap pendirian untuk datang lalu saya menjawab, insyaallah akan membawa isteri dan anak-anak. Sampai waktunya iaitu pada hari Sabtu malam Ahad 25 Februari 2017 kami pun sampai. Sambil menunjukkan gambar-gambar sekitar acara biar saya bercerita kenapa acara yang dipanggil "Malam Anjung Tradisi" ini merupakan satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana.
Sejak tahun lepas saya sudah beberapa kali bertandang ke Sarang Art Hub di Tanjung Malim berbusana tradisional penuh Melayu. Rasanya tiada orang sebelum saya pernah berbuat begitu kerana tempat makan minum santai merangkap pusat seni ini lebih dikenali sebagai tempat live band music yang selalu mengenengahkan irama rock, sesekali jazz dan lain-lain. Antara kesan daripada perbuatan saya itu adalah Mamat telah menempah 11 pasang busana tradisional Melayu daripada isteri saya. Tujuh pasang adalah untuk pakaian kakitangan Sarang Art Hub setiap hari Jumaat. Lihat artikel Busana Bona Fida di Sarang Art Hub dan majlis Persatuan Sejarah Malaysia di blogspot BONA FIDA.
Tempahan itu dibuat pertengahan Disember tahun lepas. Penghujung Januari, Mamat telah menghantar melalui Whatsapp poster untuk satu majlis review filem lama di tempatnya. Kebetulan ketika itu tempahan hampir siap sepenuhnya. Sampai waktunya iaitu Sabtu malam Ahad 4 Februari 2017 saya dan keluarga pun pergi ke sana membawa sekali seorang kawan. Tentang majlis itu sudah diceritakan dalam artikel Mengimbau filem "Kembara Seniman Jalanan" di Sarang Art Hubdi blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Artikel Busana Bona Fida di Sarang Art Hub dan majlis Persatuan Sejarah Malaysia pula menceritakan apa yang berlaku selepas majlis termasuk penyerahan busana yang ditempah...
Apa yang tidak atau belum diceritakan adalah bagaimana kehadiran saya untuk review filem 4 Februari membawa kepada terjadinya "Malam Anjung Tradisi" 25 Februari iaitu tepat 3 minggu kemudian. Sekarang biar diceritakan...
Sebelum berlepas ke Sarang Art Hub untuk review filem saya telah memuatnaik poster berkenaan di Facebook lalu memberitahu kepada umum saya akan datang. Saya juga memanjangkan undangan kepada semua kerana ia memang acara terbuka. Tidak lama selepas sampai di sana muncul 2 orang anak muda menegur saya lalu memperkenalkan diri. Seorang menyatakan diri sebagai rakan saya di FB. Seingat saya belum pernah berjumpa dengannya di mana-mana.
Beliau pun memberitahu dia adalah seorang aktivis budaya, ada juga menyertai beberapa acara dengan memakai busana tradisional Melayu. Saya lupa jika beliau pernah datang ke mana-mana majlis HIKMAH. Menariknya beliau memang asal orang Tanjung Malim.
Anak muda itu menambah, di situ sudah ada satu kumpulan kecil yang suka berbusana tradisional Melayu. Mendengar ini saya terus membawa beliau dan kawannya untuk berkenalan dengan Mamat Khalid. Kata saya, nah... tak payah pergi jauh. Rupanya Tanjung Malim dan ada kumpulan begini. Jadi bolehlah mereka bertandang ke Sarang Art Hub menjalankan aktiviti. Mamat kali pun teruja kerana dia pun tak perlu pergi jauh untuk mencari orang...
Perkenalan mereka dengan Mamat ringkas tapi padat. Satu macam MoU terus dibuat dengan kenalan FB tadi menyatakan keinginan untuk mengadakan acara bergendang dan bersilat di Sarang Art Hub. Mamat pula mengalu-alukan. Saya memberitahu kawan, sekarang pandai-pandailah kamu mengatur perkara. Jalan telah dibuka untuk kamu dan kumpulan bertandang mengadakan aktiviti di tempat Mamat.
Selepas itu kehidupan pun diteruskan tanpa saya mengikuti apa-apa perkembangan daripada pertemuan tersebut. Yang saya tahu mulai Jumaat selepas majlis review filem 4 Februari itu busana jenama Bona Fida milik isteri saya sudah menjadi pakaian rasmi hari tersebut untuk kakitangan di Sarang Art Hub. Selepas itu saya cuma ada datang sekali sahaja lagi ke sana. Ketika itu saya dan keluarga memakai busana penuh tradisional. Begitu juga seorang kenalan isteri dan keluarga yang baru pertama kali sampai ke Sarang. Malam itu, buat pertama kali dalam hidup ini saya naik ke pentas bermain gitar juga menyanyi berbusana penuh, bertanjak, bersampin dan berkeris. Lihat artikel Reunion kecil kawan Sekolah Sains dan urusan di Sarang Art Hub - Bila jiwa lama rock datang menjenguk...
Beberapa hari kemudian baru saya mendapat berita akan diadakan acara bergendang dan bersilat di Sarang, Beberapa hari lagi selepas itu baru saya diberitahu tarikh acara iaitu 25 Februari 2017. Beberapa hari sebelum acara pula baru poster berkenaan berlegar-legar di FB. Maka terjadilah "Malam Anjung Tradisi" yang tercetus setelah saya memperkenalkan dua orang aktivis dari Tanjung Malim kepada pemilik tempat iaitu Mamat Khalid.
Tentamg bagaimana Mamat sendiri boleh terlibat dan minat dengan dunia busana tradisional Melayu, beliau sedia mengaku ini disebabkan saya membawanya mengenali HIKMAH. Penglibatan terawal beliau ada diceritakan dalam artikel HIKMAH VII sebagai wadah pengisi filem epik Melayu diikuti HIKMAH VII di Melaka - Darah Melayu pun mula menggelegak yang ditulis penghujung tahun 2013. Artikel Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? menambah rasa komitmen beliau untuk membawa HIKMAH ke tempatnya sendiri iaitu Sarang Art Hub yang dibuka November 2015.
Acara malam 25 Februari diadakan tanpa rehearsal atau apa-apa persediaan seumpamanya di Sarang. Yang ada adalah kumpulan-kumpulan sedia ada, persilatan, gendang dan sebagainya yang sudah biasa berlatih di tempat masing-masing dikumpulkan di Sarang pada hari acara. Kawan FB dan kumpulan kecil di Tanjung Malim telah memanggil sejumlah kawan dan kenalan sealiran untuk bersama dari beberapa daerah di negeri Perak juga di utara negeri Selangor. Sekitar 50 orang dapat dikumpulkan untuk menjayakan acara. Kemudian datang yang lain berbusana tradisional Melayu untuk menyokong dan bersama.
Lewat malam, setelah selesai pertunjukkan silat dan sebagainya kumpulan gendang diajak naik ke pentas live band untik bermain secara fusion iaitu gabungan alat muzik lama dan moden berserta citarasa yang sesuai dengannya...
Secara ideologinya, gabungan citarasa sebeginilah yang mahu diangkat apabila acara HIKMAH dibawa ke Sarang Art Hub insyaallah selepas raya nanti. Lihat kembali artikel Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan?... bagaimana saya melihat sayangnya kita pada citarasa muzik moden seperti Rock tidak semestinya mengurangkan sayangnya kita pada nilai-nilai murni tradisional orang Melayu. Saya berani cakap, ramai pesilat dan aktivis budaya Melayu adalah juga peminat Rock. Saya sendiri adalah salah seorang daripada mereka. Nah. Sekarang nampak tak bagaimana acara "Malam Anjung Tradisi" di Sarang Art Hub adalah satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana?
Esoknya jam 2 petang acara disambung lagi, kali ini dengan kehadiran penyanyi Rock terkenal tanah air Awie. Yang ini saya tak hadir. gambar pun kutip daripada FB orang. Tapi saya tahu Awie yang juga merupakan seorang pesilat diundang untuk hadir waktu malam tetapi terikat dengan majlis lain di Kuala Lumpur. Beliau cuma dapat bersama siang Ahad lalu acara pun disambung untuk menerima kehadirannya. Awie yang datang bersama satu kumpulan bermotosikal besar kemudian memberikan persembahan suka-suka diiringi pemuzik berpakaian seperti yang kelihatan.