Seterusnya, bersambung cerita daripada artikel HIKMAH Seremban - Sekitar waktu rehat makan tengah hari dan Zohor.
Acara disambung dengan sesi pembentangan petang oleh pemilik premis Ustaz Hasanuddin Yusof, pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara. Penulis buku “Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara” ini diminta membawa tajuk "Red Indian telah DiIslamkan lebih 1,000 Tahun Lalu : Jejak Lama Pendakwah Islam juga Orang Melayu di Amerika".
Namun disebabkan kesibukan menyiapkan tempat juga menyediakan makanan untuk hadirin beliau tidak sempat menyiapkan slaid. Oleh itu saya bukakan program Google Earth lalu memberikan tumpuan pada gambar satelit sekitar Lautan Atlantik untuk membantu penerangan.
Sambil syarahan berjalan saya seperti biasa meninjau keadaan sekitar...
Adapun Ustaz Hasan menggunakan buku tulisan beliau bertajuk "Red Indian Madinah" yang terbit tahun 2015 sebagai rujukan. Secara rata buku ini mengemukakan hujah-hujah dan bukti bahawa kaum asli Red Indian yang mendiami benua Amerika Utara telah memeluk Islam sejak lebih 1,000 tahun yang lampau.
Sekali sekala beliau menunjukkan isi buku yang sesuai dengan penerangan kepada para hadirin. Apabila mendapati ia susah untuk dilihat oleh orang ramai kerana terlalu jauh dan kelihatan kecil saya membuka program video capture pada komputer riba. Dengan ituu kamera komputer boleh digunakan untuk memaparkan isi buku ke arah skrin belakang melalui projektor.
Sudah disebut dalam artikel HIKMAH Seremban - Sekitar waktu rehat makan tengah hari dan Zohor. bahawa isi-isi pembentangan akan dipanjangkan dalam artikel-artikel berasingan. Oleh itu tidak perlulah dipanjangkan di sini ya. Cukup sedikit penerangan ringkas.
Selepas itu saya pula membawa pembentangan bertajuk "Nabi Adam AS dan Orang Melayu purba 60,000 Tahun yang Lampau : Menyelaraskan Tempoh Kewujudan Manusia Dalam Sains Berbanding Kitab"
Sebelum saya mengambil tempat isteri ada mencadangkan agar majlis ditutup dengan bacaan tahlil.
Ini pun dimulakan sekitar jam 4.45 petang.
Kiranya ia adalah tahlil sempena musim Haji yang sepatutnya membuka acara waktu pagi tapi tak jadi kerana halangan tertentu. Rujuk kembali artikel HIKMAH Seremban - Persediaan selepas Subuh, ulamak silat dan geopolitik Laut Cina Selatan.
Selain untuk Aidil Adha tahlil diniatkan kepada para ahli keluarga kami yang sudah pergi dengan pengkhusuan diberikan kepada arwah Zaid Zolkifli, seorang sahabat HIKMAH yang setia bersama kami pada hampir setiap acara tetapi telah kembali secara mengejut ke rahmatullah sebaik sahaja tamat bulan Syawal tahun ini.
Selesai tahlil kami bergambar beramai-ramai di hadapan sepanduk HIKMAH...
Saya turut mengambil peluang bergambar berdua bersama isteri...
Dengan itu tamatlah acara ke-17 HIKMAH di Seremban. Hadirin pun bersantai minum petang sebelum pulang. Cukuplah cerita-cerita tentang perjalanan acara ya. Pada kelapangan lain insyaallah akan saya hidangkan artikel-artikel yang lebih memperincikan tajuk-tajuk pembentangan...