Bersambung daripada artikel Haul Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0 - Perasmian sekolah tahfiz Darul Hashimiah.
Masuk jam 11.20 kami bersiap untuk komponen seterusnya majlis.
Untuk itu saya dan keluarga berjalan kaki ke pusat peranginan Titi Hayun yang terletak betul-betul di kaki Gunung Jerai.
Kami berkumpul untuk membuat perarakan Maulidur Rasul...
Tidak lama kemudian kami pun memulakan perarakan sambil melaungkan salawat juga qasidah.
Sampai ke hadapan pusat peranginan persendirian yang mahu dijadikan tahfiz (rujuk Haul Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0 - Perasmian sekolah tahfiz Darul Hashimiah) barisan kami disertai oleh pemain gendang dan serunai silat...
Perarakan diteruskan sampai ke lokasi utama majlis haul iaitu di Anjung Menjaro...
Masuk ke pusat peranginan persendirian tersebut terus menuju ke pentas utama...
Sebagai salah seorang ahli undangan utama saya pun mengambil tempat duduk atas pentas bersama penganjur majlis dan pemilik tempat, Ayahanda Dato' Hashim Ismail...
Dari situ saya mengikuti majlis termasuk persembahan silat...
Seorang lagi tetamu kehormat, YM Raja Shahriman dari Kuala Kangsar kemudian diminta membacakan sajak menggambarkan semangat Melayu dan kebangkitan akhir zaman.
Persembahan silat dibuat lagi untuk menaikkan terus semangat.
Hampir jam 12.30 tetamu paling utama, YTM Tuan Syed Idrus bin Syed Baharom daripada Persatuan Kerabat Diraja Kedah muncul mengambil tempat.
Beliau seterusnya menandatangani deklarasi majlis lalu memberikan ucapan berkenaan.
Seterusnya sampai giliran saya berkongsi sedikit ilmu tentang orang Melayu, asal usul kita dan peranan Melayu dalam kebangkitan Islam akhir zaman.
Semangat perjuangan terus dibangkitkan dengan bacaan sajak oleh saudara Che Ross.
Beliau yang mewakili persatuan silat Pusaka Gayong terutama dari gelanggang Gurun, Kedah turut merupakan seorang sahabat setia HIKMAH. Malah beliau adalah pemilik tempat dan penganjur tempatan bagi acara ke-12 kami. Rujuk artikel lama Acara kedua belas HIKMAH di Pondok A.M. Bawa Muhaiyaddeen dan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah 17-18 Jan 2015...