Menyambung lagi gerak penulisan kembali yang baru tercetus beberapa hari lalu seperti dinyatakan dalam artikel Sampai masa untuk kembali bersuara di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Beberapa artikel melibatkan aktiviti-aktiviti dalam bulan Syawal telah dipaparkan di blogspot tersebut. Sekarang sampai masa untuk menambah cerita di blogspot ini pula. Melompat terus pada satu acara yang berlaku beberapa hari selepas tamat bulan Syawal.
Merujuk pada artikel Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? yang dibuat 5 Januari lalu. Pernah dinyatakan kami pernah merancang untuk mengadakan acara di tempat tersebut atas permintaan pemiliknya, sutradara filem terkenal Mamat Khalid. Namun disebabkan hal-hal tertentu yang berlaku ketika berada di Aceh untuk penganjuran acara ke-20 HIKMAH pada 29 Mei saya telah memutuskan tidak mahu mengadakan apa-apa lagi acara HIKMAH selepas itu. Ini membawa pada penulisan artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? pada 21 April.
Namun saya merasa bertanggungjawab untuk menunaikan juga permintaan Mamat tetapi dengan cara lain. Satu acara gantian yang mana beliau menjadi penganjur penuh, tidak langsung memakai nama HIKMAH pun dirancang. Pada minggu pertama bulan puasa Ramadhan saya dan isteri bertandang ke Sarang untuk membincangkan perkara secara empat mata. Ketika itulah diputuskan agar acara diadakan pada hari Sabtu 29 Mei mengambil kesempatan atas rancangan kerajaan Malaysia untuk mengadakan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang baru iaitu Sultan Muhammad V dari Kelantan pada tarikh tersebut.
Hal ini terus diumumkan oleh isteri kepada kawan-kawan aktivis busana dan persilatan melalui Facebook. Saya sendiri diam memerhati kerana telah membuat keputusan untuk menyepikan diri daripada media sosial juga menulis di mana-mana blogspot buat beberapa waktu. Sekitar pertengahan bulan Syawal poster promosi yang kelihatan di atas pun dikeluarkan oleh Mamat lalu diwar-warkan melalui FB dan WhatsApp. Tengok-tengok tak lama kemudian hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong ditunda pula ke satu tarikh yang lebih ke hadapan.
Kami meneruskan dengan rancangan untuk mengadakan acara pada 29 Mei. Nama program iaitu "Sireh Pulang ke Gagang" dibuat oleh Mamat dengan forum belah malam bertajuk "Busana Dalam Filem Klasik Melayu" menjadi komponen utama acara. Kami sama-sama berusaha untuk mendapatkan ahli panel juga merangka pengisian daripada tengah hari hingga petang. Penglibatan HIKMAH secara rasmi cuma satu sahaja. Saya telah meminta ruang 30 minit untuk melancarkan duit dirham HIKMAH pada jam 8 malam.
Sampai harinya Sabtu 29 Julai saya dan isteri pun bergegas ke majlis.
Disebabkan ada urusan di Rawang kami sampai sedikit lewat iaitu pada jam 3.25 petang.
Acara dijadualkan bermula pada jam 12 tengah hari dengan pembukaan gerai-gerai pameran dan jualan barangan berkaitan ketamadunan Melayu, busana dan persilatan.
Tetapi ketika kami sampai belum terdapat ramai orang. Saya pun mengambil kesempatan untuk mendirikan bunting HIKMAH dekat dengan gerai dirham. Bunting asalnya dibawa dengan niat untuk dipaparkan semasa pelancaran dirham HIKMAH pada waktu malam. Bila dah terlihat gerai yang dibuka oleh seorang sahabat terus timbul rasa untuk mendirikannya berdekatan gerai...
Tentang dirham HIKMAH akan diceritakan lebih lanjut dalam artikel selepas ini. Untuk artikel ini biar ditumpukan pada keadaan acara ataupun program pada waktu siang.
Sebetulnya sudah ramai hadirin berbusana tradisional Melayu berada di Sarang. Cuma belum cukup ramai untuk menunjukkan kemeriahan yang boleh meliputi seluruh kawasan dan sekitar...
Masuk waktu Asar tergerak saya untuk berjalan kaki ke masjid jamek pekan Tanjung Malim bagi menunaikan solat. Sampai kembali ke Sarang tengok-tengok Mamat sudah masuk di dalam kereta untuk mengiringi isteri bertolak ke Kompleks Tabung Haji.
Isteri beliau baru sekitar seminggu dua mendapat tarikh untuk berlepas pergi menunaikan haji. Kebetulan dapat 29 Julai ketika acara mahu diadakan. Nak tak nak acara harus diteruskan kerana sudah lama dirancang. Cuma Mamat harus meninggalkan acara buat beberapa jam demi menemani isteri sebelum berlepas.
Pemergian mereka diiringi dengan doa selamat dan bacaan selawat. Selepas mereka pergi acara diteruskan seperti biasa. Sambil pameran dan jualan berjalan ada persembahan silat juga permainan gendang silat diselang-selikan dengan alunan muzik tradisional daripada DVD dan sebagainya.
Ketika itu jam 5.30 majlis sudah kelihatan cukup meriah.
Saya pun mengajak sejumlah hadirin dan peserta mengadakan walk-about iaitu berjalan sambil berbusana keliling pekan Tanjung Malim.
Pekan itu sendiri sudah mula meriah kerana terdapat pasar malam yang diadakan setiap bari Sabtu...
Kembali ke Sarang tengok-tengok seorang sepupu kepada ayah saya baru sampai untuk melihat acara.
Sejumlah peserta walk-about bergambar sebelum berpecah untuk membuat hal masing-masing...
Jam 6 petang dimulakan satu persembahan menarik oleh satu kumpulan muzik bernama Anson Stompers.
Menggunakan alatan yang dibuat daripada barangan terpakai seperti tong air dan sprocket motosikal mereka mempamerkan persembahan bertenaga menyanyi dan memainkan lagu-lagu kegemaran klasik Melayu yang membuat ramai terasa ingin berjoget sama sementara yang lain melihat dan mendengar dengan penuh minat...