Salam pagi Jumaat. Masuk pembentangan oleh anak-anak tempatan Aceh. Bersambung daripada artikel HIKMAH Aceh 2017 - Kepentingan kedudukan Aceh dalam penyebaran Islam.
Merujuk pada artikel HIKMAH Aceh 2017 - Perkongsian ilmu anak muda tempatan sebelum orang lama merumuskan perkara. Hampir jam 11 muncul tiga orang anak muda Aceh dipanggil mengambil tempat di hadapan atau pentas untuk perkongsian ilmu seterusnya. Pembentang pertama, saudara Hermansyah adalah seorang pengkaji manuskrip lama yang sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD di sebuah universiti di Eropah iaitu di Jerman kalau tak salah. Beliau sedang bercuti balik ke Aceh lalu diminta berkongsi ilmu pada acara.
Tajuk yang dipilih memang sesuai dengan kepakaran...
Manuskrip-manuskrip lama Aceh itu meliputi pelbagai subjek ilmu dan perkara. Secara rata tempoh masa penulisan atau penerbitan boleh dipecahkan kepada 3 zaman. Pertama adalah zaman Kesultanan, merujuk pada tempoh masa Kesultanan Aceh berdiri megah bermula awal abad ke-16 Masihi. Kedua, zaman Kolonialisme yang ditandai dengan pencerobohan Belanda penghujung abad ke-19 tetapi saya kira rasminya bermula apabila sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud Syah dimakzulkan oleh kuasa Barat tersebut tahun 1903. Ketika zaman kemerdekaan di mana Aceh keluar daripada kekuasaan Belanda bersama wilayah-wilayah yang mebentuk Republik Indonesia tahun 1945.
Ditunjukkan beberapa contoh manuksrip Aceh termasuk Quran tulisan tangan dengan iluminasi (gaya yang mencerahkan teks) tempatan sana.
Ditunjukkan beberapa contoh manuksrip Aceh termasuk Quran tulisan tangan dengan iluminasi (gaya yang mencerahkan teks) tempatan sana.
Untuk kajian tentang manuskrip-manuskrip lama ini Hermansyah telah menjelajah ke seluruh Aceh mencari koleksi yang masih wujud termasuk di kampung-kampung yang jauh di pendalaman. Beliau pun menyuarakan kerisauan tentang sejumlah koleksi yang dilihat dalam simpanan peribadi. Banyak yang kurang terjaga dan terawat lalu sudah rosak. Namun ia tetap disimpan sebagai warisan keluarga tanpa penjagaan yang sewajarnya kerana kurang pengetahuan tentang cara penjagaan yang sepatutnya seperti diamalkan di institusi-institusi seperti muzium dan sebagainya.
Penjelajahan dan kajian beliau telah memperlihatkan lebih 4,000 manuskrip lama Aceh wujud di serata bumi Serambi Mekah itu. Selain isu penjagaan dan perawatan tentunya isu kajian isi manuskrip harus diperkatakan. Terlau banyak khazanah ilmu orang lama perlu digali kembali untuk pengetahuan dan faedah generasi sekarang. Apa yang terdapatdalam manuskrip-manuskrip itu harus menjadi bukti ketinggian akal budi juga ketamadunan masyarakat tradisional yang pernah wujud suatu masa dahulu.