Salam semua. Meneruskan penceritaan tentang acara ke-19 HIKMAH yang selamat dilangsungkan di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember lalu. Bersambung daripada artikel HIKMAH Bukit Tinggi - Sambutan Maulidur Rasul yang haq.
Jam 11.17 pagi. Sambutan Maulidur Rasul mencapai satu macam kemuncak apabila hadirin semakin asyik mengikuti dendangan hadrah dalam keadaan berdiri.
Sekitar jam 11.24 baru hadirin dibawa "turun kembali ke alam nyata" apabila rentak diperlahankan untuk memberi laluan kepada doa penutup Maulud.
Selepas itu baru masuk sesi pembukaan atau mungkin lebih tepat, sesi perasmian majlis yang mengikut jadual asal harus bermula jam 10 pagi. Sesi ini mengandungi ucapan alu-aluan dan pengenalan oleh saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH diikuti ucapan sambutan oleh pemilik lokasi yang lebih suka dikenali sebagai Puan Nora. Selesai itu baru tetamu khas, penulis buku politik terkenal tanah air, Pak Habib @ S.H, Alattas memberikan ucapan lalu merasmikan majlis.
Pak Habib antara lain menyebut betapa beliau amat tersentuh dengan sambutan Maulidur Rasul hari itu sehingga menangis teresak-esak. Beliau kemudian menekankan betapa pentingnya ilmu keTuhanan, Tauhid dan Tasawuf harus dipelajari untuk mengisi diri dan meningkatkan daya juang. Kata beliau, diri batin kita juga perlu makan minum dan ini boleh dilakukan melalui pengisian ilmu juga sambutan Maulidur Rasul seperti dilakukan pada acara HIKMAH ini. Tamat ucapan beliau diikuti perasmian hampir jam 12 tengah hari, kumpulan Haqqani Maulud Ensemble pula meminta diri kerana harus membuat persembahan pada satu majlis lain di Janda Baik...
Pak Habib sendiri turut meminta diri kerana ada urusan lain/
Sebelum meninggalkan majlis, kumpulan Haqqani sempat bergambar di hadapan surau. Sambil itu saudara Hazrin Marjan yang dijadualkan membuka sesi pembentangan ilmu pertama (sebelah pagi hingga tengah hari) sudah bersedia untuk berkongsi ilmu walau sejam lewat berbanding jadual asal. Aktivis dinar dirham ini diminta membawa tajuk "Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan?:. Beliau menggantikan seorang lagi aktivis, saudara Amirul Haji Mohamad yang memperkenalkan tajuk ini pada acara pertama HIKMAH di Shah Alam 4 November 2012.
Untuk makluman memang acara di Bukit Tinggi mahu mengulangi atau lebih tepat, mengulangkaji seberapa banyak topik yang dapat daripada acara pertama HIKMAH. Rujuk balik atur cara pada penghujung artikel Bersedia untuk acara ke-19 HIKMAH di Bukit Tinggi 17 Disember yang dipersembahkan hampir 2 minggu lalu. Ketika Hazrin hampir hendak memulakan pembentangannya, saudara Shamsul Yunos dan Taufiq Khalid yang datang dengan satu kereta pula memberitahu harus meninggalkan majlis jam 2 untuk mengejar urusan lain. Ikut jadual, Taufiq yang merupakan seorang peguam akan membentang selepas Hazrin diikuti Shamsul yang merupakan seorang wartawan bebas. Disebabkan permulaan sesi pembentangan ilmu ini sendiri sudah terlajak sejam mereka meminta agar giliran mereka didahulukan Saya pun bertanya pada Hazrin apakah beliau boleh memberikan laluan. Hazrin bersetuju lalu Taufiq pun mengambil tempat.
Beliau membawa tajuk "Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja", Tajuk ini asalnya dibawa oleh seorang lagi sahabat kami yang juga seorang peguam, saudara Mohd Faizal Ahmad, semasa HIKMAH I.
Taufiq mengulangi apa yang pernah dikongsikan oleh Faizal dengan sedikit penambahan disertai sesi soal jawab.
Sekitar jam 12.49, Shamsul pula mengambil tempat membawa tajuk "Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu".
Beliau yang membawa tajuk sama pada acara pertama HIKMAH dan beberapa acara HIKMAH selepas itu membuka topik dengan kisah Nabi Isa menghalau peminjam wang Yahudi yang pernah bermaharajalela di tempat ibadat mereka 2,000 tahun lalu.
Kemudian baru diterangkan apakah itu 7 Wasiat Raja-raja Melayu dan bagaimana ia relevan dalam perjalanan bangsa Melayu zaman moden ini. Baik pembentangan Taufiq mahupun Shamsul boleh disorot sedikit melalui artikel lama Perlembagaan, Melayu dan raja-raja dalam menghadapi cabaran akhir zaman.