Saya rasa sudah sampai masanya untuk berkongsi lebih butiran tentang pembentangan pada acara ke-18 HIKMAH yang selamat dilangsungkan di Muzium Negara pada 22 Oktober lepas iaitu 17 hari lalu. Cuma apabila dilihat gambar-gambar yang sempat ditangkap dan kualiti imej akibat masalah kamera rosak mekanisma fokus cuma satu pembentangan sahaja dapat diberikan lebih butiran berdasarkan persembahan slaid. Satu lagi pembentangan iaitu pembentangan saya sendiri pula boleh dikongsikan kerana memang saya pemilik slaid. Maka tak perlu tangkap gambar, kongsikan sahaja apa yang sedia ada dalam komputer. Mari kita mulakan.
Merujuk pada artikel HIKMAH Muzium Negara - Berulang-alik antara pembentangan ilmu di auditorium dengan persembahan silat di dataran yang dipersembahkan 13 hari lalu. Artikel itu menunjukkan apa yang dapat saya diikuti pada sesi pembentangan pagi. Berdasarkan apa yang ada saya rasa tidak perlu dikembangkan lagi penerangan. Beralih kita terus pada sesi pembentangan petang seperti ditunjukkan dalam artikel HIKMAH Muzium Negara - Mengimbas perubahan dan perkembangan busana Melayu 11 hari lalu. Terus tuju pada pembentangan kedua sesi tersebut yang diberi tajuk "Evolusi Busana Melayu".
Disebabkan masalah rosak mekanisma fokus kamera tidak dapat memberikan paparan terbaik. Tetapi ada masanya ia cukup jelas. Pembentangan yang dibuat oleh saudara Nur Afifi Taib, seorang pensyarah UiTM yang juga merupakan penggiat busana dan fesyen membuka bicara dengan ayat Al-Quran yang menerangkan bagaimana perbezaan antara manusia itu adalah sesuatu yang harus diraikan.
Saya meminta beliau menangani tajuk "Evolusi Busana Melayu" dengan tujuan itu... agar apa-apa perbezaan dalam melihat dan menilai apa yang patut mengenai dunia busana tradisional Melayu dapat diraikan, bukan menjadi punca perbalahan dan bermasam muka. Mengapa ini harus ditangani akan dijelaskan apabila pembentangan saya sendiri dihuraikan atau diberikan butiran nanti lalu masuk hal berkenaan. Selepas memberikan ayat Quran yang meraikan perbezaan Afifi pun memberikan penerangan tentang apa itu pakaian, apa yang diterangkan melalui cara atau pemilihan pakaian. Ini dinyatakan dalam slaid atas.
Setelah fungsi suatu jenis pakaian itu jelas baru boleh masuk tentang busana tradisional Melayu. Apakah itu busana tradisional Melayu? Supaya lebih jelas dan adil menilai perkara kita harus melihat cara pemakaiannya daripada zaman ke zaman. Beginilah Afifi mengkaterorikan perkara...
Secara rata apa yang mahu ditunjukkan adalah bagaimana busana tradisi kita pernah melambangkan adab keperibadian dan tamadun bangsa yang cemerlang merujuk pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka 500 tahun lalu. Tetapi penjajahan oleh Barat telah menyebabkan berlaku banyak perubahan, sehingga cara pemakaian kita pun menerima pengaruh yang tidak lagi selari dengan nilai Melayu juga Islam yang sebenar.
Apabila ini disedari maka tahulah kita bagaimana boleh muncul pelbagai macam ragam cara berpakaian. Selain ragam perbezaan disebabkan berlainan asal usul tempat ada yang berlaku akibat pengaruh luar pada zaman-zaman tertentu. Bila ini sudah disedari maka lebih senang untuk kita menetapkan cara pakai yang bagaimanakah patut sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Perbezaan itu tiada masalah asal sahaja kita berpegang teguh pada nilai-nilai asas yang dapat dengan terang menunjukkan apa yang dipakai itu layak dipanggil busana tradisional Melayu.
Pada Afifi gerakan mengembalikan dan memartabatkan semula busana tradisional Melayu seperti yang kini galak berlaku di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan adalah satu usaha untuk kembali pada zaman kegemilangan Melaka. Masuknya pelbagai unsur akibat perubahan zaman itu tiada masalah. Sekali lagi, yang penting adalah nyata apa yang dipakai itu berbentuk busana tradisional kita dan sesuai dengan falsafah serta konsep keperibadian tinggi yang berserta dengannya. Sekian...