Sekarang ini tinggal 9 jam sahaja sebelum acara ke-18 HIKMAH bermula di Muzium Negara, Biar dilepaskan satu cerita sebelum saya boleh betul-betul masuk tidur...
Petang tadi saya pergi lagi ke Muzium Negara lalu masuk ke auditorium.
Sejumlah kawan HIKMAH, beberapa orang daripada persatuan DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Selangor termasuk ahli-ahli perguruan Silat Hamboran Rimao Puteh turut bersama masuk ke dewan.
Kami mahu menjalani rehearsal untuk majlis pembukaan acara HIKMAH Muzium Negara.
Pihak muzium secara rasmi menggelar acara sebagai "Wacana Busana Lambang Ketamadunan Melayu". Ini merujuk pada tema majlis.
Pihak saya pula lebih suka menyebut begini : HIKMAH Muzium Negara - Busana Lambang Ketamadunan Melayu. Yang penting ia merujuk pada acara yang sama.
Sambil perkara diatur oleh kawan-kawan saya berdiri di satu sudut untuk mengambil gambar.
Kerusi untuk VVIP. Sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya harus duduk di sana nanti.
Rehearsal pertama bermula dengan MC, seorang kakitangan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengumumkan kedatangan perasmi iaitu Timbalan Ketua Setia Usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar. Saya nanti harus bersama Ketua Pengarah JMM, En. Kamarul Baharin dan Timbalan KP, En. Mohamed Shawal mengiringi beliau dari luar sampai ke tempat duduk.
Bacaan doa selamat. Ustaz Mahyudin Hamid yang diberi tugasan ini tidak hadir rehearsal kerana duduk jauh. Cikgu Ismail Zamry, YDP (Yang Dipertua) DSSM Selangor menjadi ganti.
Seterusnya naik sahabat HIKMAH, saudara Mohd Zahamri Nizar ke pentas diiringi ahli-ahli persilatan Hamboran.
Beliau membaca satu syair lama yang ada menekankan tentang cara pemakaian busana Melayu...
Bacaan syair diikuti pula oleh persembahan silat. Guru Akmal membuka langkah gemalai...
Selesai persembahan, gong dibawa ke hadapan untuk gimik perasmian.
Ketika itu saya harus berada di atas pentas bersama TKSU, KP dan TKP...
Rehearsal diulang sekali lagi. Kali ini saya melihat dari kerusi VVIP.
Selesai reheasal saya keluar ke bahagian dataran muzium.
Kawasan ini akan digunakan untuk peserta HIKMAH Muzium Negara makan minum. Selain itu persembahan silat daripada beberapa perguruan akan berjalan pagi selepas perasmian hingga ke petang.
Kelihatan di belakang meja-meja untuk peniaga yang diberikan tapak percuma.
Persembahan silat akan dilakukan di atas pentas sambil pembentangan ilmu berjalan dalam auditorium. Secara rata kawasan-kawasan ini sudah sedia untuk menerima kedatangan peserta HIKMAH Muzium Negara. Cuma banner atau sepanduk HIKMAH sahaja belum dinaikkan akibat kesibukan membuat rehearsal. Apabila saya keluar kakitangan muzium yang memiliki alat khas untuk melekapkan sepanduk ke dinding belakang sudah tamat waktu bekerja lalu sudah meninggalkan pejabat...