OK. Artikel kedua untuk hari kedua acara. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu.
Selepas pembentangan pertama hari Ahad tamat iaitu sebelum jam 11 pagi, pembentang kedua, tuan Mohd. Ramalan Yunus seorang penceramah bebas dijadualkan mengambil tempat dengan tajuk "Survival Umat Melayu Akhir Zaman : Sudahkah Kita Bersedia?".
Namun tuan rumah/pemilik lokasi iaitu penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas pula meminta agar diberikan ruang untuk membentang terlebih dahulu. Ikut jadual, Pak Habib yang akan membawa tajuk "Alam Terkembang Jadikan Guru : Mengambil Pelajaran Daripada Persekitaran" adalah pembentang ketiga hari Ahad.
Ikut jadual, Pak Habib harus membuka sesi pembentangan tengah hari jam 11.15. Cuma disebabkan pembentangan pertama pagi itu dimulakan lebih sejam lewat (lihat penerangan dalam artikel HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu) maka pembentangan beliau mungkin teranjak sehingga harus bermula pada hampir jam 12 kalau giliran dituruti. Kalau ini berlaku ia mungkin tamat jam 1 sedangkan Pak Habib ada hal lain ketika itu. Sebab itu beliau meminta agar dapat mula bercakap jam 11. Ramalan yang merupakan salah seorang anak angkat Pak Habib pun memberikan laluan...
Pak Habib diminta menangani tajuk "Alam Terkembang Jadikan Guru : Mengambil Pelajaran Daripada Persekitaran" kerana ia sangat dekat dengan hati beliau dan sangat relevan dengan tujuan didirikan rumah dan taman di Janda Baik yang menjadi lokasi acara ke-16 HIKMAH ini.
Oh. Pak Habib menyebut rumah dan taman meliputi kawasan 7 ekar. Saya pula selalu menyebutnya sebagai 8 ekar kerana itulah yang saya ingat sepanjang mengenali Pak Habib bermula tahun 2002 dan pernah menetap di rumah ini sehingga tahun 2005. Ke sejak itu ada 1 satu ekar sudah dilepaskan kepada pihak lain? Entahlah.
Selain memanggil taman ini sebagai Wadi Hussien, katanya sempena nama Saidina Hussein, salah seorang cucunda Nabi Muhammad SAW (Pak Habib berasal daripada keturunan ini), dia juga memanggil keseluruhan kompleks rumah dan taman sebagai University of Life. Ini boleh diterjemahkan menjadi Universiti Kehidupan juga Menari Gading Kehidupan. Konsepnya adalah rumah dan taman adalah tempat orang belajar mengenai kehidupan, satu, melalui pengalaman hidup seperti pernah dilalui Pak Habib sendiri, satu lagi, melalui alam sekitar, pokok, bunga dan persekitaran.
Sebagai seorang hamba Allah berketurunan Nabi Muhammad SAW yang telah berumur 76 tahun, sudah menulis lebih kurang 70 buah buku, mampu mendirikan rumah dan taman sebegini indah di Janda Baik, tentu banyak pengalaman hidup yang beliau boleh kongsikan. Dan pengalaman hidup beliau pula banyak berkenaan belajar dengan alam.
Misalnya apabila menyebut tentang Melayu. Kata beliau, Melayu harus dekat dengan sungai. Sebab itu beliau membina rumah dan taman tepi dan sepanjang sungai (tanah yang beliau miliki panjangnya sekitar 250 meter dan sepanjang itu juga sungai mengalir di tepian). Beliau ada tanah yang cukup luas dengan kebanyakan pokok beliau tanam sendiri lalu menjadi. Sedangkan ada jenis-jenis pokok yang dimiliki susah untuk hidup di sebelah sini. Kata beliau bukan semua orang boleh tanam pokok sehingga menjadi. Isteri beliau sendiri tanam pokok asyik mati.
Bila dan ada tanah, dah ada air maka bolehlah kita kata diri kita sebagai orang Melayu. Kalau duduk kat flat, tanah pun takda, air (sungai) jauh lagi, bagaimana mahu bercakap tentang membela tanah air?
Secara rata, apa yang diperkatakan Pak Habib bersifat common sense. Kita dengan mudah boleh faham dan akui. Cuma mungkin ramai terlepas pandang dan tidak mempraktikkan. Secara rata banyak yang boleh dipelajari daripada alam dan itulah yang mahu ditekankan dalam University of Life yang beliau tubuhkan.
Pak Habib mendedahkan beliau mengambil masa 30 tahun untuk menjadikan rumah dan tamannya seperti yang orang boleh lihat sekarang. Asalnya yang ada cuma sebuah rumah buluh tahun 1980an sebagai penginapan sambil beliau mencari ilham atau berusaha mendapatkan kekuatan dalam menangani pelbagai cabaran hidup terutama sebagai seorang penulis buku politik yang kontroversi (beliau pernah disaman sehingga berjuta Ringgit akibat kes tertentu). Sekarang dah ada macam-macam sebagai bukti kejayaan. Sila lihat artikel-artikel lama berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH...
Janda Baik, again!
My latest trip to Janda Baik and the number 22222!
Janda Baik revisited again...
Janda Baik my resting place
Al-Rasyid going around Pak Habib's place
Di hadapan semua hadirin yang ada Pak Habib juga mengisytiharkan bahawa rumah dan tamannya akan diwakafkan untuk kegunaan orang ramai menggali ilmu dan mencari ilham. Beliau tidak mahu anak-anak kandung seramai 10 orang nanti berebut tanah dan harta apabila beliau meninggal dunia lalu tempat yang sudah dibina begitu cantik jadi terpecah dan terpisah.
Pak Habib yang pernah memiliki 3 orang isteri suatu masa dahulu kemudian memperkenalkan seorang anak yang berada dalam perut ibunya ketika usaha untuk mendirikan tempat ini sedang giat dilakukan. Anak tersebut, Syed Muhyiddin al-Attas pun diminta naik ke pentas untuk berkongsi sedikit ilmu tentang agama dan kehidupan.
Oh, saya tak pasti jika ejaan Muhyiddin ini adalah tepat, mungkin juga Muhiyuddin. Yang penting orang boleh faham lalu biarlah digunakan ejaan itu ya. Saya difahamkan, beliau kini adalah salah seorang murid kanan dan kesayangan pemikir dan intelektual besar tanah bertaraf antarabangsa, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas. Seminggu sebelum HIKMAH Janda Baik berlangsung saya terserempak dengan Muhyiddin sedang membantu penganjuran wacana ilmu oleh Prof. Lihat Tentang keadilan dan fitrah manusia - Satu syarahan Prof Syed Naquib al-Attas.
Selepas itu diadakan pertunjukkan silat oleh sejumlah anak murid perguruan Silat Bunga Kedah.
Mereka yang juga merupakan ahli Armada Malaiu Malaysia, penganjur bersama HIKMAH kali ini lalu dibawa oleh pihak tersebut. Untuk pengetahuan, ini adalah artikel ke-234 di blogspot ini.