Sudah 5 hari berlalu, setelah artikel HIKMAH Janda Baik - Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah dipersembahkan Rabu lalu. Hari ini baru terasa hendak menyambung dengan cerita ke-5 tentang perjalanan acara...
Petang Sabtu 30 Januari 2015, selepas jam 2.30. Sesi pembentangan petang pun dimulakan oleh Profesor Madya Dr Mat Rofa Ismail, pensyarah kanan Jabatan Matematik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia.
Tajuk yang dibawa adalah "Memahami Tipu Daya Penjajah yang Melemahkan : Merintis Jalan Kebangkitan Ummah".
Beliau membuka dengan menceritakan bagaimana pesatnya agama Islam berkembang selepas Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul sekitar tahun 610 Masihi. Dalam tempoh 100 tahun empayar Islam telah meluas untuk meliputi seluruh Semenanjung Arab, keseluruhan bekas empayar Parsi, utara Afrika sehingga ke Lautan Atlantik membawa masuk ke sebahagian benua Eropah terutama di Semenanjung Iberia di mana terletaknya negara-negara Portugal dan Sepanyol sekarang, wilayah yang kita kenali sebagai Andalusia. Hal ini sangat mencemaskan kuasa-kuasa agama Kristian yang berpusat di Eropah. Ia menjadi asas mula permusuhan kuat kuasa-kuasa Barat terhadap Islam dan dengan itu berlakulah pelbagai tipu daya termasuk pemalsuan sejarah untuk meletakkan orang Islam sebagai penceroboh dan mereka yang bersalah.
Prof Mat Rofa merujuk kepada tulisan-tulisan cendekiawab Arab untuk menyokong penerangan. Kelebihan beliau adalah boleh membaca dan bertutur bahasa Arab dengan fasih...
Diceritakan bagaimana Islam yang pernah meliputi Semenanjung Iberia kemudian diruntuhkan, antaranya oleh seorang bangsawan Kristian Sepanyol yang dikenali sebagai Queen Isabellah. Hmm... saya sudah lupa apakah yang diceritakan tentang watak di sebelah kanan.
Diceritakan juga bagaimana umat Islam diolok-olokkan dengan sambutan 1 April yang dikenali sebagai April's Fool, hari bergurau senda sedunia konon. Sedangkan ia merujuk pada satu tarikh di mana umat Islam di Eropah pernah ditipu agar keluar daripada persembunyian selepas satu peperangan lebih 500 tahun lalu. Kononnya dibenarkan keluar dari kawasan yang ditawan dengan aman. Sebaliknya mereka dibunuh beramai-ramai. Sila rujuk cerita di sini.
Selepas umat Islam dapat dihalau keluar daripada Semenanjung Iberia, kuasa-kuasa Barat tidak berdiam begitu sahaja. Mereka tahu ada kerajaan-kerajaan Islam terbentang di merata tempat termasuk di Melaka lalu memulakan usaha untuk menjatuhkan kerajaan-kerajaan itu pula.
Namun kuasa-kuasa Barat tidak akan dapat pergi begitu jauh kalau tidak kerana wujudnya pengkhianatan yang dilakukan oleh umat Islam sendiri. Cerita tentang Raja Haji, pahlawan dan kerabat diraja Bugis yang mangkat dalam perang dengan Belanda di Teluk Ketapang, Melaka tahun 1784 pun dirujuk. Raja Haji pernah menyebut terdapat para pengkhianat dalam kalangan orang Melayu yang akhirnya membawa kepada syahidnya beliau...
Secara rata memang terdapat banyak unsur pengkhianatan menyaksikan kerajaan-kerajaan Islam dapat dijatuhkan oleh kuasa-kuasa Barat termasuk di Alam Melayu. Namun perkara ini sengaja ditutup oleh sejarah rasmi yang ditulis pihak mereka, para Orientalis dan sebagainya. Mereka melakukan ini supaya kita rasa kerdil dan lemah, bahawa kita kalah semata-mata kerana ketinggalan daripada segi teknologi dan sebagainya. Walhal Baratlah yang mengutip teknologi tinggi daripada dunia Islam sambil menggunakan tali barut mereka untuk menghancurkan kita...
Selesai pembentangan Mat Rofa, saudara Amirul Haji Mohamad, seorang aktivis dan perunding kewangan Islam membawa tajuk "Dinar Dirham dan lain-lain Instrumen Sejati Ekonomi Islam : Membuang debu Riba’ yang Menghalang Kebangkitan Sebenar Ummah".
Beliau sudah 5 kali membentang tajuk serupa pada acara-acara HIKMAH. Secara rata, isi sama diulang dengan penambahbaikan berserta perkembangan semasa dan perkara-perkara yang relevan menurut tema suatu acara Lihat artikel-artikel berikut :-
Kali ini Amirul diminta agar turut menambah dengan solusi atau jawaban bagaimana hendak memperkasakan ekonomi Islam agar betul-betul selaras dengan kehendak Syariah melalui cara-cara praktikal yang boleh kita amalkan mulai sekarang. Sambil pembentangan berjalan saya melihat lagi keadaan di sekeliling...
Pembentangan selesai sekitar 4.45 petang kalau tak salah ingatan. Kami pun berehat dan boleh buat aktiviti bebas. Selepas beberapa lama ada orang mengingatkan sepatutnya ada persembahan silat semasa waktu rehat Asar/minum petang yang dijadualkan 4.30-5. Saya pun meminta saudara Zariman Zulkifli daripada Armada Malaiu Malaysia agar membuat persembahan solo...
Kawan kami, jemaah Hulubalang Melayu Kuala Langat melihat.
Ikut atur cara asal, Hulubalang Melayu akan membuat persembahan silat petang Ahad. Sebaliknya timbul gerak rasa spontan untuk mereka menyambung selepas Zariman selesai...
Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-232 di blogspot ini. Selepas ini akan dipersembahkan artikel-artikel tentang perjalanan acara pada hari Ahad 31 Januari 2016.